Dewan Diraja Selangor buat laporan polis, pertahan kedaulatan institusi raja

27 Apr 2026, 10:38 AM
Dewan Diraja Selangor buat laporan polis, pertahan kedaulatan institusi raja
Dewan Diraja Selangor buat laporan polis, pertahan kedaulatan institusi raja

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis berhubung hantaran media sosial yang menghina institusi diraja di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Ahli Dewan Diraja Selangor Dato' Setia Salehuddin Saidin berkata, tindakan itu diambil atas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kedudukan institusi raja di negeri ini.

“Ini bukan sahaja menghina Tuanku secara individu tetapi turut mencemar institusi raja yang perlu dipelihara oleh seluruh rakyat,” katanya kepada media selepas selesai laporan dibuat.

Ahli Dewan Diraja Selangor Dato Setia Salehuddin Saidin (tengah) bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial yang didakwa menghina Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 27 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata hantaran tersebut memaparkan imej menjijikkan yang menyerupai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan disifatkan sebagai penghinaan serius.

Isu itu timbul susulan reaksi terhadap pandangan Tuanku berhubung cadangan tidak meneruskan penternakan babi di Selangor atas faktor pencemaran alam sekitar.

Dewan Diraja juga menuntut tindakan tegas termasuk siasatan segera oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti serta mendakwa individu terlibat di bawah undang-undang termasuk Akta Hasutan.

Beliau hadir bersama Ahli Dewan Diraja lain, Tan Sri Dato' Setia Zawawi Salleh, Dato' Setia Khusrin Munawi, Dato' Setia Haris Kasim dan Dato Setia Tamyes Abdul Wahid bagi membuat laporan berkenaan.

Dalam masa sama, semua pihak khususnya pemimpin politik diingatkan tidak mempolitikkan isu berkenaan atau memprovokasi masyarakat.

Kedudukan raja dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 selain selari dengan prinsip Rukun Negara.

Salehuddin berkata Dewan Diraja bertindak tanpa perlu arahan Tuanku kerana menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan institusi raja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.