SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan menghina Institusi Diraja Selangor dan menggesa tindakan tegas diambil segera terhadap pihak terlibat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata institusi diraja, khususnya di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, merupakan lambang kukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.
"Saya bertegas menyatakan bahawa tindakan keji sedemikian adalah ditegah di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, reaksi masyarakat yang turut mengutuk perbuatan tersebut mencerminkan pendirian jelas rakyat dalam mempertahankan institusi berkenaan.
"Respons masyarakat yang turut mengutuk perbuatan itu menunjukkan pendirian jelas rakyat dalam mempertahankan institusi berkenaan di bawah naungan Sultan Selangor," katanya.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan Setiausaha Politiknya, Saifuddin Shafi Muhammad telah membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera terhadap insiden tersebut.

Selain itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan pendirian Kerajaan Negeri supaya tindakan tegas diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Petang tadi, saya telah bertemu Menteri Komunikasi… untuk menyatakan pendirian Kerajaan Negeri bahawa tindakan sekeras-kerasnya wajar diambil secara pantas oleh pihak SKMM," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemilik akaun terbabit telah memuat naik kandungan tersebut sebelum memadamkan akaun di platform Facebook.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengikuti perkembangan siasatan.
"Saya akan berhubung rapat dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia berkenaan perkembangan siasatan oleh agensi penguatkuasa," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta mengelakkan tindakan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan Institusi Diraja Selangor.
Kelmarin, tular di media sosial satu hantaran yang menyunting imej khinzir memakai pakaian adat istana dan mengaitkannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Berikutan itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han mengecam hantaran berkenaan dan menyeru polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras dengan peruntukan undang-undang.
Kecaman turut dibuat beberapa lagi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah; EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah; EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail; EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan EXCO Sumber Manusia V Papparaidu.









