SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 19 lagi projek tebatan banjir di Selangor dijangka siap tahun ini, sekali gus memperkukuh usaha mitigasi banjir di negeri ini.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata projek itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 134 projek yang dirancang di bawah Rancangan Selangor dan Rancangan Malaysia.
Menurutnya, sejumlah RM5.74 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di seluruh Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2030.
Jelas Izham peruntukan itu melibatkan RM2.11 bilion dari Kerajaan Negeri melibatkan 108 projek menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan RS-2 manakala RM3.63 bilion di bawah Kerajaan Persekutuan melibatkan 26 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 dan RMK-13).
“Daripada keseluruhan 134, 16 projek belum mula, dalam perbincangan (38 projek), proses rekabentuk (24 projek), urusan pengambilan tanah (lapan projek), perolehan untuk tender dan sebut harga (empat projek) dan dalam pembinaan fizikal (44 projek).
“Bagi kemajuan projek dalam fasa pembinaan fizikal melibatkan 44 projek, 19 projek tebatan banjir lagi telah mencapai kemajuan melebihi lebih 80 peratus hingga 100 peratus dan semua akan siap tahun ini yang akan memberi impak besar kepada rakyat Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Selain itu, katanya Kerajaan Negeri turut memperuntuk sejumlah RM57 juta sebagai tambahan bagi pelaksanaan projek ‘quick win’ melibatkan langkah segera menangani banjir dengan 149 daripada keseluruhan 195 projek telah siap setakat ini.
Menurutnya projek tebatan banjir menampakkan hasil apabila kajian mendapati terdapat penurunan kawasan hotspot banjir di seluruh Selangor.
“Kita sudah buat kajian pada 2022 ada 97 hotspot, pada 2025 56 hotspot tinggal. Maknanya separuh sudah hilang. Saya tak kata kita puas hati, tapi kita akan tingkatkan lagi, itu sasaran kita,” katanya.
Jelasnya, proses pelaksanaan projek tebatan banjir di Selangor merupakan satu proses besar dan kompleks yang melibatkan beberapa peringkat utama sebelum sesuatu projek dapat dimulakan secara fizikal.
Menurutnya prosesnya pada peringkat awal bermula dengan pelantikan perunding mengambil masa kira-kira sebulan, diikuti proses reka bentuk yang mengambil masa sekitar 12 bulan, melibatkan kajian terperinci aspek lembangan, hidrologi dan hidraulik.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta untuk meneliti kemungkinan memendekkan tempoh reka bentuk kepada sekitar sembilan bulan. Selepas siap, proses pengambilan tanah akan dilaksanakan kerana keperluan tanah hanya dapat dikenal pasti selepas pelan terperinci dimuktamadkan.
“Fasa ini lazimnya mengambil masa sekitar 10 bulan hingga setahun dan boleh menjadi lebih panjang sekiranya melibatkan proses perundangan di mahkamah. Seterusnya, projek memasuki peringkat perolehan yang kini telah dipendekkan daripada empat bulan kepada dua bulan, sebelum kerja fizikal boleh dimulakan di lapangan.
“Secara keseluruhan, tempoh sebelum projek bermula secara fizikal mengambil masa kira-kira dua setengah tahun, manakala fasa pembinaan fizikal pula boleh mengambil masa dua hingga tiga tahun. Ini menjadikan tempoh keseluruhan pelaksanaan projek tebatan banjir sekitar empat hingga lima tahun,” katanya.







