Selangor sasar 500 stesen pengecas EV tahun ini

28 Apr 2026, 6:25 AM
Selangor sasar 500 stesen pengecas EV tahun ini

SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor mempercepat agenda mobiliti hijau dengan menyasarkan pemasangan kira-kira 500 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) tahun ini.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata cadangan itu diterima daripada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Petaling Jaya, Shah Alam, Hulu Selangor dan Ampang Jaya, dengan lokasi strategik sedang dikenal pasti.

“Worldwide Holdings Berhad (WHB) telah menerima cadangan sekitar 500 stesen daripada empat PBT dan kita sedang menilai lokasi sesuai bersama rakan kerjasama,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata langkah itu selari usaha menjadikan Selangor peneraju mobiliti hijau serta bersedia menghadapi peralihan teknologi rendah karbon.

Menurutnya, Selangor kini mempunyai lebih 1,000 stesen pengecasan EV, namun jumlah itu masih belum mencukupi berikutan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik.

“Setakat ini terdapat kira-kira 30,000 kenderaan elektrik persendirian berdaftar di Malaysia. Ini menunjukkan potensi pasaran masih besar dan belum diteroka sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, Selangor menyasarkan sekurang-kurangnya 4,000 stesen pengecasan EV disediakan menjelang 2030 bagi menyokong pertumbuhan penggunaan EV.

“Infrastruktur perlu disediakan lebih awal supaya rakyat lebih yakin beralih kepada kenderaan elektrik,” katanya.

Beliau berkata pembangunan kemudahan itu akan diperluas ke kawasan perumahan, komersial, lokasi awam serta luar bandar termasuk Sabak Bernam.

“Manfaat mobiliti hijau perlu dinikmati semua, bukan hanya di bandar tetapi juga kawasan luar bandar dan laluan utama negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, WHB memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan USTEU Hong Kong Limited bagi menyokong pembangunan sehingga 4,000 infrastruktur pengecasan EV di Selangor.

Kerjasama itu merangkumi pembangunan ekosistem EV secara menyeluruh termasuk sistem pemantauan, penyelenggaraan dan keselamatan operasi.

Sze Han berkata penggunaan EV juga berpotensi diperluas dalam acara besar seperti SUKMA sebagai usaha mempromosi mobiliti hijau kepada masyarakat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.