Konsert Ella: Penganjur buat laporan polis susulan gangguan sistem bunyi

17 Feb 2026, 4:47 AM
Konsert Ella: Penganjur buat laporan polis susulan gangguan sistem bunyi

SHAH ALAM, 17 FEB: Penganjur Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu lalu membuat laporan polis selepas gangguan sistem bunyi berlaku di tingkat tiga, yang menjadi perbualan hangat di media sosial.

Dalam kenyataan bersama malam tadi, Hitman Solutions, Rockqueen dan Digital Aid Sdn Bhd memaklumkan punca insiden itu telah dikenal pasti hasil siasatan teknikal terperinci.

“Selepas menerima aduan daripada penonton di tingkat tiga pada malam konsert, pasukan teknikal segera ke bilik kawalan sistem bunyi di tingkat dua. Kami turut mengambil kira maklum balas yang tular di media sosial,” kata kenyataan itu.

Ratu Rock Ella menghiburkan hampir 60,000 peminat ketika Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari 2026. Foto Facebook BERNAMA

Konsert yang menampilkan lebih 30 lagu untuk meraikan legasi Ella sebagai Ratu Rock Negara itu tetap diteruskan selepas kru teknikal berjaya menyelesaikan isu audio kira-kira jam 9.50 malam.

Pemeriksaan mendapati format tetapan sistem audio telah diubah ke ‘Default’, berbeza daripada tetapan raptai sebelum konsert.

Penganjur menegaskan insiden itu diambil serius dan laporan polis dibuat jam 5.26 petang semalam. Mereka juga memohon maaf kepada pemegang tiket Bronze yang terkesan dan sedang merangka bentuk imbuhan yang sesuai.

“Kami ingin memohon maaf atas kesulitan ini dan sedang berbincang bagi memastikan pemegang tiket yang terjejas menerima perhatian sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.