SHAH ALAM, 26 APRIL: Rakyat Selangor diseru terus mengamalkan sikap matang dan berhemah dalam penggunaan media sosial, kata EXCO Perpaduan.
Dato’ Rizam Ismail turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan tidak sahih atau bersifat provokatif kerana ia mampu mengeruhkan keadaan.
“Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri yang aman, stabil dan sejahtera untuk semua,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan satu hantaran tular di media sosial yang menyunting gambar khinzir mengenakan pakaian istiadat istana, dengan mengaitkannya kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Rizam turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan situasi semasa mutakhir ini, memandangkan risiko yang boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan rakyat di Selangor.
“Selama ini, kekuatan kita terletak pada sikap saling menghormati, toleransi dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan rakyat.
“Saya mengecam sebarang bentuk penyebaran kandungan berunsur penghinaan, provokasi atau cubaan mengaitkan institusi diraja dengan perkara tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan sosial,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa bertindak segera menjalankan tanggungjawab sewajarnya bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang ditangani secara adil dan berkesan.
Sementara itu, portal berita Mandarin, Oriental Daily menafikan terbabit dengan hantaran berkenaan memandangkan pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan logo syarikat itu.
Terdahulu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han menyeru pihak polis mengambil tindakan tegas agar pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras peruntukan undang-undang negara.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah pula berkata kebebasan bersuara yang diamalkan dalam negara ini bukan lesen untuk menghina mana-mana pihak, apatah lagi institusi diraja.
Sementara itu, EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau, menyekat serta menurunkan kandungan media sosial yang berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor.








