Piala Dunia Berbasikal Trek 2026: Azizulhasni rangkul gangsa pecut

26 Apr 2026, 12:38 PM
Piala Dunia Berbasikal Trek 2026: Azizulhasni rangkul gangsa pecut

NILAI, 26 APRIL: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selepas memenangi gangsa acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.

Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul emas keirin semalam, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Atlet Neutral Individu (AIN) Nikita Kiriltsev dalam penentuan gangsa, sekali gus mengesahkan kedudukan podium.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu terlebih dahulu mempamerkan kayuhan meyakinkan apabila menewaskan Huang Ruiting dari China pada pusingan 1/8 sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menyingkirkan Dominik Topinka dari Republik Czech pada suku akhir.

Cabaran atlet berusia 38 tahun itu bagaimanapun terhenti dalam saingan separuh akhir selepas tewas kepada Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago.

Sepanjang tiga perlumbaan itu, Azizulhasni memenangi perlumbaan pertama, namun Paul bangkit menguasai perlumbaan kedua sebelum memastikan kemenangan pada aksi penentuan untuk mara ke final.

Pingat emas acara itu dimenangi juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda, sekali gus mengubati kekecewaan meraih perak dalam acara keirin manakala Paul terpaksa berpuas hati dengan perak.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tersingkir pada pusingan 1/8 selepas tewas kepada Mattia Predomo dari Itali.

Sebagai rekod, Azizulhasni turut merangkul gangsa pecut individu lelaki pada siri Piala Dunia di Perth, Australia Mac lepas.

Dalam pada itu, hasrat pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk mara ke final acara keirin tidak kesampaian selepas terkandas pada separuh akhir sebelum mengakhiri cabaran di tempat ke-11 dalam saingan tempat ketujuh hingga ke-12.

Seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid terkandas pada pusingan kedua.

Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selama tiga hari itu akan menutup tirainya hari ini.

-- BERNAMA

TAG: sukan, berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang, pecut individu lelaki

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.