SHAH ALAM, 31 OGOS: Tangisan kegembiraan mengiringi luahan Datuk Azizulhasni Awang selepas menerima pengesahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) masih memerlukan khidmatnya terutama dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Pelumba berbasikal trek negara itu berkata berita berkenaan diterimanya menerusi e-mel daripada KBS dan MSN yang dibuka sebaik selesai menjalani sesi latihan di trek hari ini.
Menurut Azizulhasni, tempoh seminggu sebelum menerima pengesahan berkenaan cukup mencabar sehingga menjejaskan tumpuannya ketika menjalani latihan.
“Alhamdulillah, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-69. Saya baru buka e-mel di trek selepas sesi latihan selepas seminggu. Memang sepanjang minggu ini saya tidak boleh berlatih. Bila pergi berlatih, fikiran saya kosong,” katanya menerusi akaun Instagram, lapor Berita Harian.
Juara dunia acara keirin 2017 itu berkata beliau sudah menunggu jawapan berhubung perkara berkenaan sejak sebelum menyertai Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“(Hari ini) Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya dalam keadaan sebak.
Azizulhasni berkata hanya atlet yang pernah melalui pengalaman dan pengorbanan sama mampu memahami perasaan dilaluinya ketika menerima berita berkenaan.
“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya,” katanya.
Dalam pada itu, Azizulhasni menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan termasuk menerusi mesej serta komen di media sosial yang disifatkannya membawa makna dan impak besar.
Pelumba berusia 38 tahun itu turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik kepada Malaysia dengan berkata: “Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua.”









