Azizulhasni buru emas sulung di Sukan Komanwel terakhir

28 Jul 2026, 4:09 AM
Azizulhasni buru emas sulung di Sukan Komanwel terakhir
Azizulhasni buru emas sulung di Sukan Komanwel terakhir
Azizulhasni buru emas sulung di Sukan Komanwel terakhir
Azizulhasni buru emas sulung di Sukan Komanwel terakhir

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pemburuan pingat emas pertama Sukan Komanwel menjadi pembakar semangat Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang penampilan terakhirnya di temasya berprestij itu.

Jaguh berbasikal trek negara yang dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' itu memulakan pencapaian di pentas Komanwel dengan meraih pingat gangsa acara pecut berpasukan pada edisi New Delhi 2010 sebelum menambah gangsa keirin individu di Glasgow 2014.

Aksi beraninya mengibarkan mesej 'Save Gaza' pada sarung tangan ketika beraksi di Scotland sedekad lalu mencetuskan kontroversi apabila mengundang kemarahan penganjur.

Namun, tindakan itu turut mengangkat nama Azizulhasni sebagai wira di mata jutaan rakyat Malaysia yang menyifatkan beliau berani mempertahankan prinsip kemanusiaan.

Sepanjang kariernya, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu turut mempamerkan semangat juang luar biasa apabila menamatkan perlumbaan walaupun betisnya tertusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter dalam satu kejadian pada 2011.

Karier legenda lumba basikal trek negara itu hampir berakhir selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022 sehingga terpaksa melupakan hasrat beraksi di Sukan Komanwel Birmingham, lapor Harian Metro.

Walaupun terus dihimpit kecederaan belakang dan lutut kronik, Azizulhasni bangkit semula dengan mempamerkan prestasi membanggakan di pentas antarabangsa.

Pada usia 38 tahun, beliau kembali membuktikan keupayaannya apabila merangkul emas acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Trek UCI di Velodrom Nasional baru-baru ini.

Kini, Azizulhasni sudah berada di Scotland bagi menghadapi penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel sebelum menamatkan karier sebagai pelumba profesional.

Seluruh rakyat Malaysia pastinya mengharapkan kayuhan terakhir 'The Pocket Rocketman' mampu menghadiahkan pingat emas sulung Sukan Komanwel sekali gus menjadi penutup paling manis buat karier gemilangnya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.