ad

Kuota Insentif Haji Muassasah kekal 6,000, permohonan dibuka Januari depan

30 Okt 2025, 9:30 AM
Kuota Insentif Haji Muassasah kekal 6,000, permohonan dibuka Januari depan
Kuota Insentif Haji Muassasah kekal 6,000, permohonan dibuka Januari depan
Kuota Insentif Haji Muassasah kekal 6,000, permohonan dibuka Januari depan
Kuota Insentif Haji Muassasah kekal 6,000, permohonan dibuka Januari depan

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI meneruskan pelaksanaan Insentif Haji Muassasah dengan mengekalkan kuota maksimum 6,000 jemaah bagi musim haji tahun hadapan.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata inisiatif dengan bantuan RM1,000 seorang itu diteruskan bagi membantu jemaah menunaikan rukun Islam kelima dengan lebih tenang tanpa tekanan kewangan.

“Tahun ini seramai 4,300 jemaah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM4.3 juta.

“Kuota dan kadar sumbangan dikekalkan bagi musim haji 2026, malah kita menjangka permohonan meningkat selepas promosi dibuat lebih awal,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada ketua-ketua kampung kawasan DUN Sungai Burong di Warisan De’Village, Tanjong Karang, hari ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Sireh Norhazlina Alim (kanan) dalam sebuah majlis di Warisan De’Village, Tanjong Karang pada 30 Oktober 2025. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, permohonan Insentif Haji Muassasah 2026 dijangka dibuka pada Januari depan, selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2026 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Tabung Haji baru menetapkan syarat kesihatan dan mengeluarkan surat tawaran kepada jemaah. Kita mahu pastikan rakyat mempunyai masa mencukupi untuk memohon sebelum berangkat ke Tanah Suci,” jelasnya.

Ahmad Azri turut memaklumkan, Yayasan MBI sedang berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memperkenalkan Skim Khairat Kematian untuk jemaah yang meninggal dunia di Tanah Suci.

“Yayasan sedang meneliti mekanisme terbaik sama ada menanggung sepenuhnya atau memberi subsidi. Kosnya tidak tinggi, sekitar RM30 seorang tetapi besar maknanya kepada waris,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada 2022, insentif berkenaan memberi manfaat kepada lebih 12,000 jemaah haji Selangor dengan jumlah peruntukan RM6 juta setahun.

Bermula tahun lalu, kadar bantuan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seorang sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan bakal haji.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menaja sepenuhnya 75 jemaah haji kurang berkemampuan tahun ini, berbanding 36 individu pada 2024, sekali gus memperkukuh komitmen Selangor sebagai negeri berkebajikan dan berteraskan kesejahteraan ummah.