Fi Kelestarian: Hasil dipulangkan kepada rakyat, kemudahan pelancongan dipertingkat

26 Apr 2026, 1:00 AM
Fi Kelestarian: Hasil dipulangkan kepada rakyat, kemudahan pelancongan dipertingkat
Fi Kelestarian: Hasil dipulangkan kepada rakyat, kemudahan pelancongan dipertingkat
Fi Kelestarian: Hasil dipulangkan kepada rakyat, kemudahan pelancongan dipertingkat
Fi Kelestarian: Hasil dipulangkan kepada rakyat, kemudahan pelancongan dipertingkat

SHAH ALAM, 26 APRIL: Fi Kelestarian bukan sekadar kutipan baharu, sebaliknya hasil kutipan akan disalurkan semula bagi menaik taraf kemudahan pelancongan awam demi keselesaan pengunjung dan manfaat komuniti setempat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen negeri dalam membangunkan sektor pelancongan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Pada tahun ini kita sudah memperkenalkan Fi Kelestarian, dan dengan itu juga sebenarnya kita akan kembalikan kepada kemudahan pelancongan di tempat awam.

“Ini termasuklah seperti kemudahan tandas, membangunkan semula kawasan-kawasan yang mungkin sedikit terabai disebabkan oleh bencana seperti banjir dan pelbagai perkara lain.

“Kita akan menumpukan pembangunan infrastruktur ini berdasarkan cadangan Tourism Selangor, pejabat daerah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 di Terminal Sekinchan di sini, semalam, yang turut dihadiri EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim.

Hadir sama EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Rizam Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelepasan peserta Larian Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata usaha memperkukuh kemudahan pelancongan itu selari dengan aspirasi lebih besar Kerajaan Negeri untuk meningkatkan daya saing ekonomi di peringkat serantau menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2) yang dijangka dibentangkan tahun ini.

Menurutnya, sasaran tersebut memerlukan sokongan semua pihak termasuk pemain industri pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Selangor.

“Kita bukan lagi bercita-cita ingin menjadi juara di Malaysia tapi dalam RS2 antaranya, kita mahu jadi negara utama atau pun negeri utama dalam rantau Asia Tenggara.

“Ia bukan satu benda yang mudah. Tetapi dalam masa yang sama kita perlu menyahut cabaran tersebut, termasuk menjadikan tempat ini tempat yang sempurna untuk pelancongan dan masyarakat,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pengunjung ketika Festival Sawah Padi Sekinchan di Terminal Sekinchan, Sabak Bernam pada 25 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Ng Suee Lim memaklumkan Fi Kelestarian mula dikenakan kepada pengunjung bermula 1 Januari lalu bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara.

Beliau berkata kutipan fi dilaksanakan oleh pihak hotel dan pengusaha inap desa sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan sebahagian kecil diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.