SHAH ALAM, 31 DIS: Kerajaan Negeri akan mula mengenakan fi kelestarian penginapan kepada pelancong yang menginap di hotel dan inap desa di negeri ini bermula Januari tahun depan.
Hasil kutipan fi ini akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan, penjagaan alam sekitar, serta menyokong projek penghijauan dan pembangunan mampan.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim, berkata langkah ini diambil selaras dengan beberapa negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang yang telah melaksanakan cukai warisan, serta Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan yang turut mengenakan caj berkaitan pelancongan.
Menurut beliau, Selangor sebagai antara pusat ekonomi dan pelancongan utama negara perlu bergerak seiring dengan dasar semasa.

“Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha pelancongan. Walaupun tidak semua pihak boleh berpuas hati sepenuhnya, kebanyakan pemain industri memahami keperluan fi ini,” katanya dalam temu bual bersama Selangor Media.
Beliau berkata Selangor menerima jumlah pelancong yang tinggi setiap tahun, justeru pembangunan pelancongan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.
Selepas hampir setahun kajian dibuat, Kerajaan Negeri memutuskan fi ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026, melibatkan hotel, inap desa dan Airbnb.
Cadangan kadar fi adalah seperti berikut:
Hotel lima bintang RM7 semalam
Hotel tiga bintang dan ke bawah RM5 semalam
Hotel tanpa penarafan RM3 semalam
Airbnb dan inap desa RM2 semalam
Suee Lim menegaskan fi ini bukan bertujuan membebankan mana-mana pihak, sebaliknya untuk mendidik pelancong agar bersama-sama kerajaan menjaga alam sekitar dan kelestarian negeri.
Dari segi pelaksanaan, fi tersebut akan dipungut oleh hotel dan inap desa sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Sebahagian kecil akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan diuruskan melalui satu dana khas oleh jawatankuasa yang ditubuhkan.
Kerajaan Negeri juga akan menjalankan tempoh pemantauan selama tiga tahun sebelum mempertimbangkan peluasan fi ini ke sektor lain seperti taman tema atau lokasi eko-pelancongan.

Program pemutihan inap desa
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut meneruskan program pemutihan inap desa yang kini dilaksanakan di Sabak Bernam dan akan diperluaskan ke Tanjong Karang.
Menurut beliau, seramai 140 pengusaha inap desa di Sabak Bernam sedang melalui proses pemutihan, manakala 112 inap desa di Tanjong Karang akan menyusul.
Beliau berkata kebanyakan inap desa di kawasan itu beroperasi secara kecil-kecilan dan masih belum berdaftar secara rasmi, selain mempunyai beberapa kekurangan dari segi lokasi dan operasi.
Melalui program ini, Kerajaan Negeri dapat mengumpul data yang lebih tepat dan memastikan operasi inap desa lebih tersusun serta selamat.
Pengusaha yang terlibat akan diberikan lesen sementara, dan selepas melengkapkan perlindungan insurans, mereka boleh beroperasi secara sah.
“Proses pemutihan di Sabak Bernam dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan. Selepas itu, program ini akan diperluaskan ke kawasan lain sehingga meliputi seluruh Selangor,” katanya.
Beliau menegaskan program ini bertujuan membantu pengusaha, bukan menekan industri inap desa. Yuran lesen yang dikenakan adalah munasabah, dan pengusaha yang mematuhi syarat akan menerima permit daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Tambahnya, sekiranya berlaku sebarang kemalangan di inap desa, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Kegeri turut terkesan, justeru kerjasama pengusaha amat penting bagi memastikan keselamatan dan imej pelancongan Selangor terus terpelihara.


