Selangor laksana tempoh transisi fi kelestarian tiga bulan - EXCO

7 Jan 2026, 1:00 AM
Selangor laksana tempoh transisi fi kelestarian tiga bulan - EXCO
Selangor laksana tempoh transisi fi kelestarian tiga bulan - EXCO

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan Selangor melaksanakan tempoh transisi selama tiga bulan bagi pelaksanaan fi kelestarian yang bermula 1 Januari lalu untuk memberi ruang kepada pemain industri pelancongan menyesuaikan diri dengan mekanisme baharu itu.

EXCO Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta membuat hebahan melalui pemberian notis kepada pengusaha terlibat berhubung pelaksanaan fi berkenaan.

“Bagi peringkat awal, Kerajaan Negeri memberi ruang peralihan selama tiga bulan untuk tujuan pendidikan dan hebahan.

“Kita minta PBT menggunakan pendekatan mesra tanpa sebarang tindakan saman sepanjang tempoh ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, sebarang kelewatan pembayaran fi kelestarian dalam tempoh transisi turut diberikan kelonggaran bagi membolehkan pengusaha memahami kaedah pelaporan dan pematuhan yang ditetapkan.

Suee Lim berkata tempoh tiga bulan itu dianggap mencukupi walaupun terdapat permintaan daripada pemain industri supaya tempoh lebih panjang diberikan.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim ketika sidang media pengumuman senarai baharu Penyelarasan Kampung Baru dan Ketua Kampung Baru Cina Negeri Selangor di pejabatnya di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 6 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Pada pandangan saya, tiga bulan adalah tempoh yang sesuai untuk fasa penyesuaian ini sebelum pelaksanaan sepenuhnya,” katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan fi kelestarian tersebut bukan bertujuan membebankan pengusaha, sebaliknya mempunyai matlamat jelas untuk memelihara alam sekitar serta menaik taraf prasarana dan infrastruktur di destinasi pelancongan, khususnya berkaitan eko-pelancongan.

“Hasil kutipan fi ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan kemudahan dan kelestarian kawasan tumpuan pelancong di Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri mula mengenakan fi kelestarian penginapan kepada pelancong yang menginap di hotel dan inap desa di Selangor bermula 1 Januari lalu.

Hasil kutipan fi berkenaan akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan pelancongan, menjaga alam sekitar serta menyokong projek penghijauan dan pembangunan mampan.

Terdahulu, Suee Lim berkata langkah itu diambil selaras dengan beberapa negeri lain seperti Melaka dan Pulau Pinang yang telah melaksanakan cukai warisan, selain Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan yang turut mengenakan caj berkaitan pelancongan.

Menurut beliau, Selangor sebagai antara pusat ekonomi dan pelancongan utama negara perlu bergerak seiring dengan dasar semasa bagi memastikan pembangunan pelancongan yang mampan.