SHAH ALAM, 25 APRIL: Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki melakukan pembakaran sampah hingga menyebabkan kebakaran memusnahkan harta benda dan kawasan semak di Lot 43, Jalan Pantai Perkasa, Bachok, Kelantan, semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran melibatkan kawasan semak dan sebuah kenderaan terbengkalai pada jam 4.30 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati saksi memaklumkan kawasan semak serta rangka kenderaan di hadapan sebuah rumah terbengkalai terbakar.
“Pengadu bersama beberapa saksi bergegas ke lokasi dan mendapati api marak serta merebak ke kawasan berhampiran rumah pengadu. Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan orang awam.
“Pemeriksaan mendapati kawasan terjejas meliputi kawasan lapang berhampiran rumah terbengkalai hingga ke hadapan rumah pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran turut merosakkan tanaman dan beberapa barangan termasuk pokok kelapa, rangka kenderaan Proton Wira, kayu binaan serta pagar besi.
“Polis juga mengesahkan tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut menemui kesan pembakaran sampah di atas tanah milik suspek yang terletak bersebelahan lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dipercayai melakukan pembakaran sampah sekitar jam 11.30 pagi pada hari kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana cuai menggunakan api atau bahan mudah terbakar hingga membahayakan harta benda,” katanya.








