SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri memperkenalkan aplikasi Dashboard Mitigasi Banjir Selangor sebagai langkah baharu untuk menangani masalah banjir dengan lebih berkesan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid berkata orang ramai kini boleh menyemak maklumat seperti status pintu air, kolam takungan, data hujan dan sistem perparitan terus melalui telefon pintar masing-masing.
“Semuanya telus. Dengan data hujan dan sistem parit yang digabungkan dalam satu sistem ini, saya sebagai wakil rakyat boleh bercakap di Dewan Negeri berdasarkan fakta yang kukuh dan data yang lengkap.
“Usaha ini membuktikan bahawa janji dasar yang dibuat menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadi keutamaan kerajaan untuk direalisasikan, bukan janji politik semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dashboard Mitigasi Banjir Selangor yang diperkenal pada Februari lalu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi memaparkan status kemajuan projek tebatan banjir di seluruh Selangor secara telus.
Sistem mesra pengguna itu dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh kakitangan JPS menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS) dan perisian ArcGIS Server.
Dalam pada itu, Mariam menambah, cabaran utama Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu banjir secara menyeluruh kini beralih kepada aspek penyelenggaraan, terutamanya di peringkat pelaksanaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, penyelenggaraan sistem perparitan dalaman yang efisien merupakan faktor penting dalam memastikan semua kawasan di negeri ini, khususnya Meru, tidak lagi dilanda masalah banjir kilat.
Sehubungan itu, Mariam mencadangkan agar jadual penyelenggaraan dibuka kepada orang awam supaya sistem saliran sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
“Meru ingin membangkitkan tentang isu banjir kilat yang sebenarnya tidak akan selesai selagi mana masalah longkang tersumbat tidak diatasi dengan betul,” katanya.
Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan terhadap masalah banjir yang masih berulang di Selangor walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.








