SHAH ALAM, 24 APRIL: Caj perkhidmatan krematorium Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kekal pada kadar semasa walaupun berdepan kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG).
Yang Dipertuanya, Dr. Ani Ahmad berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat.
“Selaras amanat Dato’ Menteri Besar, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kemudahan krematorium diarahkan mengekalkan caj pengurusan pada kadar sedia ada walaupun berlaku kenaikan harga bahan api.
“Sebarang peningkatan kos dalam menyediakan perkhidmatan ini hendaklah ditampung oleh PBT masing-masing menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli Majlis MPSepang Bil 4/2026, hari ini.
Menurutnya, harga LPG kini meningkat kepada RM6.25 sekilogram berbanding sekitar RM4.95 hingga RM5.02 sebelum ini, namun caj perkhidmatan tidak dinaikkan.
Beliau berkata fasiliti krematorium di Tanah Perkuburan Bersepadu Sepang yang beroperasi sejak 9 Ogos 2021 terus memainkan peranan penting dalam pengurusan kematian di daerah itu.
“Fasiliti ini dilengkapi dua unit mesin pembakaran dengan kapasiti enam tong gas bagi setiap unit dan menggunakan bahan bakar LPG melalui pembekal yang dilantik iaitu Gas Malaysia Retail Services Sdn Bhd.
“Setiap proses pembakaran menggunakan antara 35 hingga 45 kilogram gas dan mengambil masa kira-kira dua jam bergantung kepada saiz keranda,” katanya.
Tambah beliau, secara purata antara 10 hingga 20 pengurusan pembakaran dilaksanakan setiap bulan.
“Data menunjukkan jumlah pengurusan pembakaran menurun selepas pandemik Covid-19, dengan 320 kes direkodkan pada 2022 berbanding hanya 48 kes setakat tahun ini,” katanya.








