SHAH ALAM, 19 APRIL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mempergiatkan operasi penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen termasuk warga asing di beberapa kawasan sekitar Zon Tengah.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan tindakan diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Operasi bersepadu tersebut melibatkan beberapa lokasi antaranya Salak Perdana, Taman Dahlia, Lebuhraya Nilai, Labohan Dagang dan Arena Warisan.
Tumpuan diberikan terhadap aktiviti perniagaan tanpa lesen sah serta penjajaan di lokasi yang tidak dibenarkan.
“Hasil operasi bersepadu tersebut, empat Notis Kompaun (NTK) dikeluarkan selain tiga tindakan sitaan (inventori) dilaksanakan terhadap penjaja warga asing yang didapati melanggar peraturan.
“Tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 iaitu kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, MPSepang menasihatkan penjaja mematuhi peraturan serta undang-undang kecil dan mendapatkan lesen perniagaan sah terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti perniagaan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut memaklumkan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan kawasan pentadbiran sentiasa teratur, selamat dan bebas daripada aktiviti penjajaan tanpa lesen.









