SHAH ALAM, 24 APRIL: Air Selangor memotong secara kekal sambungan bekalan air tidak sah di sebuah premis terkemuka di Jalan Ampang susulan aduan berhubung kegiataan itu.
Operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam itu melibatkan 15 pegawai Air Selangor bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Air Selangor memaklumkan pemeriksaan di lokasi mendapati wujud sambungan tidak sah yang dipercayai digunakan untuk mendapatkan bekalan air secara haram.
“Air Selangor telah mengambil tindakan susulan aduan penyambungan bekalan air tidak sah di sebuah bangunan di Jalan Ampang.
“Sambungan tidak sah telah ditemui dan tindakan pemotongan secara kekal telah dilaksanakan, selain notis tuntutan ganti rugi kehilangan air turut dikeluarkan kepada pemilik premis,” katanya dalam kenyataan.

Air Selangor menegaskan sambungan tidak sah dan kecurian air merupakan kesalahan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
“Perbuatan ini adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.
Tambahnya, usaha penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan bekalan air tidak disalah guna.
“Operasi berterusan ini mencerminkan komitmen Air Selangor dalam melindungi bekalan air yang mampan untuk pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.








