SHAH ALAM, 24 APRIL: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Gerik, dalam kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, laporan dibuat mangsa yang merupakan pekerja premis berkenaan pada jam 5.57 petang semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3.33 petang ketika mangsa sedang bertugas.
"Mangsa yang bekerja di pasar raya itu mulanya terdengar bunyi seperti zip dibuka, membuatkan pengadu (mangsa) pergi melihat sebelum mendapati suspek sedang membuat gangguan seksual itu.
"Suspek ketika itu sedang memegang kemaluan dan beronani sambil memandang ke arah pengadu. Pengadu bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit serta memarahi supek sehingga dia beredar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan pantas mangsa merakam kejadian membantu siasatan polis.
Menurut Abdul Samad, suspek telah diberkas dan permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi dua minit 31 saat yang memaparkan seorang wanita memarahi lelaki terbabit di dalam pasar raya selepas didakwa melakukan perbuatan tersebut.








