SHAH ALAM, 4 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggalakkan pasar raya serta mana-mana pihak menganjurkan jualan murah tanpa subsidi kerajaan sebagai alternatif kepada program Jualan Rahmah MADANI.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bagi memastikan rakyat mempunyai lebih banyak pilihan mendapatkan barangan pada harga berpatutan tanpa menambah beban kewangan kerajaan.
“Kita menggalakkan mana-mana pihak, termasuk pasar raya, untuk memaklumkan kepada kementerian supaya kita boleh beri kebenaran.
"Jika ia tidak melibatkan implikasi kewangan kerajaan, kita terbuka untuk bekerjasama,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai inisiatif jualan murah tanpa subsidi serta peranan KPDN membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, KPDN juga memperkukuh pemantauan harga melalui aplikasi Price Catcher bagi memastikan ketelusan dan memudahkan pengguna membandingkan harga barangan keperluan asas.
Sebelum ini, data aplikasi bergantung sepenuhnya kepada Pegawai Pemantau Harga, namun kini KPDN bekerjasama dengan pasar raya bagi mendapatkan maklumat harga secara langsung tanpa tambahan tenaga kerja.
Langkah itu membolehkan data diperoleh secara masa nyata, meningkatkan ketepatan maklumat serta menjimatkan kos operasi.
Ia juga menyokong persaingan sihat antara pengusaha runcit untuk menawarkan harga terbaik kepada pengguna.
Armizan menegaskan KPDN sentiasa terbuka kepada pendekatan baharu, termasuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi melaksanakan lebih banyak program harga berpatutan di seluruh negara.
“Pendekatan pelbagai pihak ini memastikan intervensi harga bukan hanya bergantung kepada subsidi semata-mata, tetapi juga kepada kecekapan pasaran dan tanggungjawab sosial perniagaan,” katanya.
Beliau menambah, gabungan pemantauan harga, kerjasama industri dan jualan murah tanpa subsidi merupakan strategi utama kerajaan bagi memastikan kestabilan harga serta kesejahteraan rakyat terus terjamin.




