SHAH ALAM, 17 DIS: Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya cedera ketika menjalankan operasi memadam kebakaran di sebuah pasar raya di Jalan Seroja 56, Taman Johor Jaya, Johor Bahru pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor berkata, kejadian berlaku ketika operasi pemadaman dijalankan dan serpihan ‘plaster’ simen terjatuh ke bahu kanan anggota berkenaan yang berusia 23 tahun.
“Mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan Unit Kecemasan Perkhidmatan Perubatan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut dan kini dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran tersebut berlaku di sebuah kilang yang telah diubah suai menjadi pasar raya, melibatkan kerosakan besar terhadap struktur bangunan tersebut.
Menurut JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.21 pagi dan pasukan pertama tiba di lokasi hanya dua minit kemudian.
Operasi pemadaman yang mengambil masa hampir dua jam berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 9.10 pagi.
Seramai 30 anggota bomba dari lima balai iaitu Johor Jaya, Larkin, Tebrau, Mount Austin dan Ulu Tiram digerakkan ke lokasi bersama tiga jentera dan sebuah unit EMRS.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus daripada struktur bangunan pasar raya berkenaan,” tambah kenyataan itu.



