Kerajaan Negeri ambil langkah tangani isu warga emas bersendirian

23 Apr 2026, 1:18 PM
Kerajaan Negeri ambil langkah tangani isu warga emas bersendirian
Kerajaan Negeri ambil langkah tangani isu warga emas bersendirian
Kerajaan Negeri ambil langkah tangani isu warga emas bersendirian

SHAH ALAM, 23 APRIL: Kerajaan Negeri merancang mewujudkan inisiatif ‘Care Navigator’ dalam komuniti sebagai usaha memperkukuh jaringan bantuan kepada golongan memerlukan, khususnya warga emas yang semakin ramai hidup bersendirian.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu diambil susulan peningkatan trend warga emas tinggal sendirian seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Public Health Malaysia.

“Kita ambil maklum bila KKM dan Public Health Malaysia melaporkan meningkatnya warga emas tinggal bersendirian. Populasi kita setakat ini dalam 12 peratus warga emas berbanding populasi tujuh juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti jumlah sebenar warga emas yang tinggal bersendirian melalui pelbagai saluran termasuk data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta permohonan bantuan yang akan dibuka.

Selain itu, inisiatif seperti BINGKAS 3.0 juga akan diperluas dengan melonggarkan syarat kepada keluarga yang mempunyai tanggungan warga emas bagi mendapatkan gambaran lebih jelas situasi semasa.

"Salah satu sasaran untuk tahun 2026 adalah kita wujudkan lantikan dalam komuniti iaitu Care Navigator, mungkin berasaskan Parlimen dan DUN supaya mereka boleh memantau golongan memerlukan.

"Ia termasuk penjaga anak orang kurang upaya (OKU), penjaga warga emas serta warga emas yang tidak mendapat sebarang bantuan negeri atau persekutuan. Jadi kita perlu perkukuhkan ekosistem tersebut," katanya.

Tambahnya, pendekatan itu juga mengambil kira aspek kesihatan sosial, bukan sekadar rawatan fizikal, dengan penglibatan NGO, pusat komuniti dan pusat aktiviti warga emas.

"Isu kesihatan ini bukan hanya fizikal tetapi juga sosial, jadi kita perlu kerjasama dengan NGO dan pusat komuniti supaya maklumat bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan," ujarnya lagi.

Melalui pelaksanaan Care Navigator, Kerajaan Negeri berharap dapat mengenal pasti kumpulan sasar secara lebih menyeluruh serta memastikan mereka menerima bantuan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan memperkukuh inisiatif khidmat bantu di rumah di bawah JKM agar lebih mampan dalam jangka panjang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.