SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 503 kes aduan kes keganasan rumah tangga direkodkan di Selangor antara 2023 hingga 2025, maklum EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sejumlah 445 aduan kes melibatkan perempuan manakala 58 kes membabitkan mangsa lelaki. Bagaimanapun, tiada data anggaran jumlah kes keganasan rumah tangga yang tidak dilaporkan.
“Kerajaan Negeri sentiasa mempergiat usaha advokasi dan kesedaran terutama bagi menggalakkan mangsa untuk tampil membuat laporan serta mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.
Anfaal berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Pua Pei Ling yang ingin mengetahui statistik terkini kes keganasan rumah tangga di Selangor.
Menjawab pertanyaan berhubung usaha Kerajaan Negeri bagi mengurangkan stigma terhadap mangsa lelaki agar mereka tampil mendapatkan bantuan, Anfaal memberitahu Wanita Berdaya Selangor telah melaksanakan Kempen Gender Based Violence (GBV) sejak tahun 2021.
Beliau menjelaskan kempen tersebut bersifat universal, tidak hanya berfokus kepada wanita malah menekankan bahawa lelaki dan kanak-kanak juga boleh menjadi mangsa keganasan.
“Bahan kempen yang disediakan tidak memberi fokus terhadap wanita sahaja malahan ianya bersifat umum bagi membuang stigma hanya wanita sahaja yang menjadi mangsa keganasan domestik.
“Pada tahun ini, Kempen Hentikan Keganasan Berasaskan Gender akan diadakan secara lebih menyeluruh melalui lima siri advokasi di Jelajah Wanita Selangor bermula Jun 2026 sehingga November 2026.
“Siri advokasi ini akan turut membawa agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan sokongan kepada mangsa keganasan seperti pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM),” jelasnya.








