Pemuda menyamar polis ditahan selepas video tular

23 Apr 2026, 12:44 AM
Pemuda menyamar polis ditahan selepas video tular

SHAH ALAM, 23 APRIL: Seorang lelaki ditahan semalam selepas dipercayai menyamar sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas videonya tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, pihaknya bertindak susulan maklumat yang diterima berkaitan rakaman video yang memaparkan individu terbabit memakai vest dan topi keledar berlogo pasukan itu tanpa kebenaran.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 17 April lalu sebelum video itu dimuat naik di platform TikTok.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang suspek warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun di kawasan USJ, Subang Jaya bagi membantu siasatan.

“Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menggunakan peralatan serta pakaian seragam polis tanpa kebenaran sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat memecah keamanan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan aib di tempat awam.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini. Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.