KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji dan meneliti kertas siasatan insiden tembakan yang menyebabkan kematian tiga individu di Durian Tunggal, Melaka pada November tahun lepas.
AGC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah ditaklimatkan berhubung perkembangan siasatan kes itu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“AGC sedang mengkaji dan meneliti kertas siasatan yang dikemukakan secara menyeluruh, bagi menentukan sebarang arahan lanjut yang sewajarnya, sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memberi jaminan bahawa sebarang keputusan pendakwaan akan dibuat berdasarkan undang-undang dan keterangan yang ada, bagi memastikan proses keadilan terhadap semua pihak terpelihara.
Dalam kejadian pada 24 Nov lepas, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati, selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira jam 4 pagi.
Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan pihaknya menunggu laporan daripada agensi berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.
-- BERNAMA








