Kes tembak di Durian Tunggal: Rakaman audio diserah kepada CyberSecurity Malaysia

29 Dis 2025, 7:58 AM
Kes tembak di Durian Tunggal: Rakaman audio diserah kepada CyberSecurity Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Polis telah menyerahkan rakaman audio berkaitan kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal kepada CyberSecurity Malaysia bagi tujuan analisis forensik, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar.

Beliau berkata perbandingan suara daripada keluarga, iaitu pengadu sendiri, dan pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkaitan juga telah diambil bagi tujuan pengesahan.

“Rakaman audio tersebut merupakan antara bukti penting dan sebab itu, ia diserahkan kepada CyberSecurity Malaysia untuk analisis forensik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Kumar berkata rakaman itu diserahkan oleh pengadu yang mendakwa suara berkenaan diperoleh daripada seorang mangsa semasa kejadian, justeru kesahihannya perlu disahkan, dan sementara menunggu keputusan, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini bagi mendapatkan arahan serta nasihat selanjutnya.

Mengulas mengenai tindakan terhadap pegawai terlibat, beliau berkata kes itu masih dalam siasatan dan mereka tidak menjalankan tugas penguatkuasaan secara aktif.

“Ini merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara sebelum ini yang menyatakan bahawa walaupun kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak polis perlu membuktikan elemen-elemen kesalahan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan boleh diambil.

“Saya beri jaminan siasatan dijalankan secara tanpa kompromi, telus dan menyeluruh… dari sudut tindakan dalaman, siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang dijalankan dan pada masa sama, pihak kami menyiasat daripada sudut kewujudan elemen jenayah,” katanya.

Pada 24 Nov lepas, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal pada kira-kira 4.30 pagi sehingga menyebabkan kecederaan parah pada lengan kirinya.

Bagaimanapun, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan tersebut dan susulan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.

-- BERNAMA

TAG: JSJ, audio, polis, Durian Tunggal