KUALA LUMPUR, 16 DIS: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan siasatan kes tiga lelaki yang ditembak mati di Melaka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Menurut AGC, pihaknya telah dirujuk tentang laporan kes berkenaan dan berdasarkan taklimat serta cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, jabatan itu bersetuju untuk mengarahkan klasifikasi semula siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
"Penelitian awal AGC mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat," menurut AGC dalam kenyataan hari ini.
Pada 24 November lepas, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka kira-kira 4.30 pagi sehingga menyebabkan seorang koperal cedera parah pada lengan kirinya.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Disember lepas, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu pada 4 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Hari ini, semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh PDRM.
-- BERNAMA


