Pengusaha nurseri terlibat pengosongan tapak diberi lanjutan sehingga akhir Ogos

21 Apr 2026, 9:42 AM
Pengusaha nurseri terlibat pengosongan tapak diberi lanjutan sehingga akhir Ogos
Pengusaha nurseri terlibat pengosongan tapak diberi lanjutan sehingga akhir Ogos

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Negeri memberi tempoh lanjutan sehingga akhir Ogos kepada pengusaha nurseri di Jalan Sungai Buloh untuk mengosongkan tapak sebelum projek pelebaran jalan bertingkat di KWASA Damansara bermula September ini.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato Ir Izham Hashim berkata tempoh lanjutan diberikan selepas mengambil kira rayuan pengusaha walaupun proses pengosongan telah bermula sejak 2019.

Menurutnya, semua prosedur berkaitan telah dilaksanakan termasuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak 2021 serta beberapa siri notis rasmi kepada pengusaha.

"Kerajaan Negeri telah melalui semua proses termasuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak 2021.

"Notis terakhir juga telah dikeluarkan pada Disember 2021, jadi projek ini tidak boleh lagi ditangguhkan," katanya pada sidang media di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, 38 pengusaha melibatkan 66 lot terlibat dalam pengosongan tersebut, dengan sebahagian pengusaha memiliki lebih daripada satu lot.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bayaran ex gratia RM10,000 bagi setiap lot dengan jumlah keseluruhan RM660,000, namun masih terdapat 14 lot belum dituntut.

"Kebanyakan pengusaha telah menerima bayaran, hanya 14 lot masih belum dituntut, manakala empat lot telah pun dikosongkan," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan cadangan pemindahan ke Bukit Canggang, Kuala Langat yang berkeluasan kira-kira 30 ekar terpaksa dikaji semula selepas didapati kawasan berkenaan berisiko banjir selain memerlukan kos pembangunan tinggi berikutan keadaan tanah yang lembut.

Bagaimanapun katanya, kawasan seluas kira-kira 15 ekar di lokasi sama masih tersedia dan boleh dibangunkan sebagai tapak baharu secara komersial sekiranya pengusaha mengemukakan cadangan.

"Kita sediakan tapak, tetapi pengusaha perlu kemukakan cadangan pembangunan dan menanggung kos sendiri.

"Kerajaan Negeri bersedia memudah cara sekiranya terdapat cadangan lokasi lain yang sesuai dan sah di sisi undang-undang," tambahnya.

Izham menegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan menanggung kos pembangunan tapak baharu, sebaliknya hanya berperanan sebagai fasilitator.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya pengusaha tidak menerima notis, sebaliknya menegaskan semua proses pemberitahuan telah dilaksanakan sejak sekian lama.

"Kita sudah beri tempoh panjang. Malah ada pengusaha beroperasi lebih 20 tahun tanpa pulangan kepada Kerajaan Negeri.

"Keputusan ini terpaksa dibuat bagi memastikan kelancaran pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.