Jimat bil elektrik: Selangor dicadang guna sistem solar di bangunan kerajaan

21 Apr 2026, 9:15 AM
Jimat bil elektrik: Selangor dicadang guna sistem solar di bangunan kerajaan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kerajaan Selangor dicadang melaksanakan kontrak kecekapan tenaga di bangunan pentadbiran negeri melalui penggunaan tenaga solar menggunakan model Zero CAPEX (Capital Expenditure), bagi menjana penjimatan kos jangka panjang.

Wakil rakyat Bukit Gasing R. Rajiv berkata sudah tiba masanya bangunan kerajaan termasuk sekolah beralih kepada penggunaan panel solar melalui kaedah pajakan, sekali gus mengurangkan beban bil elektrik serta kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berucap dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kalau kita mahu mengadaptasi dengan kecekapan tenaga, ia perlu dimulakan dengan pentadbiran negeri sendiri. Saya berpendapat usaha ini perlu dibuat dan seterusnya akan menjadi contoh pihak lain.

“Pemasangan solar juga mampu memberi penjimatan yang optimum selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melaksanakan penjimatan kewangan berikutan situasi geopolitik yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Untuk rekod, model Zero CAPEX membolehkan sistem solar dipasang tanpa kos awal atau pelaburan modal oleh pengguna. Sebaliknya, pelabur pihak ketiga akan membiayai, memasang dan menyelenggara sistem, manakala pengguna hanya membayar tenaga yang digunakan pada kadar lebih rendah berbanding tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam perkembangan berkaitan, Rajiv turut mencadangkan Kerajaan Negeri memperluaskan promosi perkhidmatan Van Transit Atas Permintaan (DRT) yang kini meliputi 93 zon di seluruh Selangor.

Katanya, perkhidmatan itu berpotensi menggalakkan perubahan tabiat pengguna ke arah penggunaan pengangkutan awam.

“Saya mencadangkan negeri memberi fokus kepada perkhidmatan DRT kerana ini merupakan peluang baik untuk memujuk orang untuk cuba van DRT, yang sekarang mempunyai 93 zon perkhidmatan,” katanya.

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau turut meminta perhatian Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur asas di Petaling Jaya, khususnya pembinaan kolam takungan air terawat.

Katanya, hampir 80 peratus kawasan lama di DUN Bukit Gasing masih belum mempunyai kemudahan tersebut walaupun Selangor mempunyai 1,657 kolam takungan perkhidmatan.

“Saya turut memohon penyelesaian segera isu banjir yang sering berlaku di Seksyen 18 dan Jalan Othman selaras dengan teguran keras Sultan Selangor mengenai kegagalan pengurusan banjir,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap isu banjir berulang di negeri ini walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.

Sehubungan itu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius perkara tersebut dan akan memperkukuh usaha mitigasi banjir sebagai keutamaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.