KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi membangunkan tanah pertanian milik kementerian itu, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program perintis itu memberi fokus kepada kebajikan serta kelangsungan hidup veteran selepas bersara melalui penyediaan sumber pendapatan dalam sektor agromakanan moden.
Jelas beliau, projek awal melibatkan kira-kira 20 hektar tanah yang dikenal pasti di beberapa lokasi termasuk Kuala Selangor dan kawasan lain di negeri ini.
“Kerjasama ini bertujuan membangunkan tanah pertanian dengan pendekatan moden, di samping membantu veteran ATM menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup selepas tamat perkhidmatan.
“Projek tersebut berpotensi diperluas ke lebih banyak kawasan tanah milik MINDEF jika pelaksanaannya menunjukkan hasil memberangsangkan,” katanya sempena pameran Defence Services Asia (DSA) 2026.
Amirudin berkata seramai 40 veteran akan terlibat dalam fasa permulaan dengan setiap peserta diberi peluang mengusahakan tanaman secara sistematik dan berteknologi.
“Program ini memberi tumpuan kepada tanaman seperti cili fertigasi serta penggunaan sistem pertanian pintar (smart farming) bagi meningkatkan hasil dan kecekapan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata pengalaman daripada projek terdahulu, termasuk pelaksanaan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Petaling Jaya yang menunjukkan hasil positif, akan dimanfaatkan dalam melatih peserta.
“Veteran tentera akan didedahkan dengan kemahiran pengendalian teknologi serta pengurusan pertanian moden bagi memastikan mereka lebih bersedia dan berdaya saing.
“Hasil pengeluaran daripada projek berkenaan akan dipasarkan dengan pendapatan disalurkan terus kepada peserta sebagai sumber rezeki utama,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerjasama itu kesinambungan kepada pelbagai inisiatif dilaksanakan PKPS, termasuk program Ehsan Mart yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor.









