Pemandu wanita dipenjara, denda RM13,000, kes mabuk, langgar lampu isyarat merah

21 Apr 2026, 8:17 AM
Pemandu wanita dipenjara, denda RM13,000, kes mabuk, langgar lampu isyarat merah

SHAH ALAM, 21 APRIL: Seorang wanita dihukum penjara sehari dan denda RM13,000 oleh Mahkamah Trafik Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar lampu isyarat merah, semalam.

Mahkamah turut memerintahkan wanita berusia 42 tahun itu menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit. Selain itu, tertuduh turut hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut beliau, kejadian berlaku jam 8.22 malam di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang membabitkan sebuah kereta BMW X1 dan motosikal Yamaha LC135.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita tempatan itu dipercayai gagal berhenti ketika lampu isyarat merah lalu melanggar motosikal yang bergerak lurus dengan lampu hijau di laluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal berusia 22 tahun mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di lutut kanan.

Manakala pembonceng motosikal yang juga remaja perempuan berusia 15 tahun serta pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd Zamzuri berkata, ujian alkohol yang dijalankan terhadap wanita itu menunjukkan bacaan 183 miligram per 100 mililiter, melebihi had dibenarkan.

Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tertuduh dihadapkan ke mahkamah dan mengaku bersalah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) akta sama bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.