Padah memandu mabuk, pekerja kilang dipenjara, didenda RM10,000

3 Apr 2026, 10:42 AM
Padah memandu mabuk, pekerja kilang dipenjara, didenda RM10,000

SHAH ALAM, 3 APR: Pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara tujuh hari serta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu kereta dalam keadaan mabuk, Februari lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman terhadap KK Haridass Nair, 44, selepas pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh serta hujah pendakwaan.

Beliau memerintahkan hukuman bermula dari tarikh sabitan hari ini selain menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan memandu selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan, Haridass didapati memandu kereta dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 108 (mg) per 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 58 mg daripada had ditetapkan iaitu 50 mg per 100 ml darah.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Parameswara, Melaka pada 7 Februari lalu, jam 2.30 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman berat dikenakan serta berhujah bahawa kesalahan memandu dalam keadaan mabuk adalah serius dan menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan hanya bekerja kilang serta memohon maaf atas kesalahan dilakukan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.