Sarawak akur jika SUKMA 2026 ditangguh, tunggu keputusan Selangor

21 Apr 2026, 5:00 AM
Sarawak akur jika SUKMA 2026 ditangguh, tunggu keputusan Selangor

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sarawak akur sekiranya penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan, susulan cadangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan tersebut bersifat penangguhan, bukan pembatalan, dengan mengambil kira ketidaktentuan situasi global ketika ini.

Beliau bagaimanapun memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang keputusan rasmi daripada Kerajaan Selangor berhubung perkara tersebut, lapor Utusan Borneo.

“Kita hanya dimaklumkan melalui laporan media. Jika Selangor memutuskan untuk menangguhkan SUKMA, kita akur,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak telah membuat persiapan rapi bagi temasya berkenaan, termasuk melibatkan komitmen kewangan, persediaan atlet serta peninjauan lokasi penginapan.

Katanya, persiapan turut melibatkan lawatan ke sembilan daerah di Selangor bagi memastikan kesesuaian tempat penginapan termasuk inap desa untuk kontinjen.

Walaupun mengakui akan berasa terkilan sekiranya SUKMA ditangguhkan, Abdul Karim menegaskan keputusan terbaik perlu mengambil kira keadaan semasa di peringkat global.

“Kita serahkan kepada kerajaan pusat, Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.

Sebelum itu, Sultan Selangor berkenan mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu siap.

Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan sama ada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan ditangguhkan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

SUKMA kali ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.