SHAH ALAM, 20 APRIL: Seorang wanita ditahan kerana didakwa memiliki lima laras senjata api dalam serbuan di rumah di Kampung Miak, Kuala Krai, Kelantan petang tadi.
Serbuan jam 6.45 petang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Bersepadu Khazanah, lapor Berita Harian.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat berkaitan aktiviti menyimpan bahagian terbitan hidupan liar yang dilindungi.
“Serbuan dilakukan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Perhutanan. Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui lima laras senjata api pelbagai jenis.
"Susulan itu kita menahan seorang wanita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Senjata Api,” katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan barang kes serta suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut.








