36 jemaah umrah terkandas, MOTAC batal lesen Al Aisy Travel

20 Apr 2026, 6:03 AM
36 jemaah umrah terkandas, MOTAC batal lesen Al Aisy Travel

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn Bhd selepas didapati gagal menguruskan perjalanan umrah sehingga menyebabkan 36 jemaah Malaysia terkandas di Madinah, Arab Saudi.

MOTAC memaklumkan pembatalan lesen itu berkuat kuasa mulai 31 Mac lalu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal membuat tempahan awal bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti dijanjikan dalam pakej umrah.

"Selain itu, syarikat turut didapati tidak mematuhi jadual perjalanan pelancongan serta gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia untuk jemaah terlibat.

“Kegagalan ini menyebabkan 36 jemaah umrah terkandas di Madinah, Arab Saudi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

MOTAC menjelaskan tindakan syarikat berkenaan melanggar syarat lesen dan obligasi yang ditetapkan di bawah Akta 482.

Katanya, syarikat itu juga didapati menjalankan perniagaan dengan cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan serta ekonomi negara.

"Insiden tersebut telah menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan serta gangguan kepada perjalanan ibadah jemaah umrah, selain menjejaskan keyakinan terhadap industri pelancongan secara keseluruhan," katanya.

Tegasnya, MOTAC tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.