KEADILAN fokus perkukuh sayap pemuda, tingkat penglibatan wanita

19 Apr 2026, 8:44 AM
KEADILAN fokus perkukuh sayap pemuda, tingkat penglibatan wanita

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu memberikan perhatian serius kepada usaha kesepaduan serta pengukuhan sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) demi memastikan kelangsungan perjuangan parti di masa hadapan.

Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemantapan sayap pemuda itu merupakan antara tiga usul utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Gombak 2026 hari ini untuk dibawa ke peringkat kepimpinan pusat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 KEADILAN Cabang Gombak pada 19 April 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

“Berkenaan dengan kesepaduan dan pengukuhan AMK, itu memang menjadi tujuan kita dan akan dilaksanakan secara berterusan," katanya selepas menghadiri mesyuarat berkenaan hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata usul lain yang turut diperjuangkan secara konsisten adalah sasaran penglibatan wanita dalam struktur kepimpinan parti.

“Setakat ini, penglibatan wanita berada pada tahap sekitar 23 hingga 24 peratus. Terdapat peningkatan dan kita akan terus berusaha untuk memenuhi sasaran 30 peratus itu,” katanya.

Bagi usul ketiga pula, beliau menekankan kepentingan menangani kes penderaan seksual yang berlaku di rumah penjagaan yang akan diterjemahkan melalui Dasar Ekonomi Penjagaan yang telah dimulakan sejak tahun lepas.

Amirudin, yang juga Dato' Menteri Besar Selangor menyifatkan ketiga-tiga usul tersebut penting kerana ia membuktikan KEADILAN bukan sahaja membincangkan hal ehwal dalaman parti tetapi turut melihat isu kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.