SHAH ALAM, 4 OKT: Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor di bawah Jabatan Perdana Menteri akan meneliti sebarang permohonan atau sumbangan membabitkan kawasan Parlimen Petaling Jaya susulan peletakan jawatan Ahli Parlimennya, Lee Chean Chung.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata peranan ICU Selangor itu akan melengkapi khidmat sedia ada di kawasan berkenaan yang turut digerakkan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Ahli Dewan Negeri dan ahli majlis.
“Cabang PKR akan menyelaras perkara berkaitan... selamat maju jaya kepada beliau (Lee Chean Chung),” katanya ketika ditemui pada Program MADANI Kita (PMK) Kota Anggerik @ Shah Alam di Dewan Melati, Seksyen 7, semalam.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Chean Chung melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat, berkuat kuasa 2 Oktober.
Chean Chung mengumumkan keputusan itu pada sidang media Jumaat lalu dan memaklumkan akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli PKR pada 5 Oktober ini.
Sebelum ini dilaporkan beliau menerima keputusan penggantungan keahlian selama tiga tahun pada 30 September, selain menerima surat rasmi yang mengesahkan keputusan berkenaan.
“Sehubungan itu, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan (sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya) tanpa sebarang syarat,” katanya pada sidang media berkenaan.
Chean Chung juga dilaporkan bertemu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul pada 1 Oktober bagi memaklumkan perkara itu.







