Jadikan sepak takraw sukan perpaduan, perluas penyertaan semua kaum - PM

14 Apr 2026, 6:45 AM
Jadikan sepak takraw sukan perpaduan, perluas penyertaan semua kaum - PM
Jadikan sepak takraw sukan perpaduan, perluas penyertaan semua kaum - PM
Jadikan sepak takraw sukan perpaduan, perluas penyertaan semua kaum - PM

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memainkan peranan lebih proaktif dalam memperluas penyertaan pelbagai kaum dalam sepak takraw, sekali gus mengangkatnya sebagai sukan warisan negara dan simbol perpaduan nasional.

Anwar berkata sepak takraw mempunyai kedudukan istimewa kerana sudah lama berakar dalam kehidupan masyarakat, khususnya di kampung dan desa sehingga hampir semua generasi pernah terdedah dengan permainan itu.

Beliau berkata usaha memperkasa sukan itu tidak harus tertumpu kepada persatuan atau pemain semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh bagi menyemarakkan minat rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Benar, pada peringkat awal minat lebih (terhadap sepak takraw), saya rasa majoriti anak-anak Melayu sama seperti kalau bola keranjang anak-anak Cina.

“Tetapi inilah peranan KBS untuk memastikan lebih ramai anak daripada kaum-kaum lain juga mulai minat dan menyertai (sepak takraw) seperti juga perlu anak-anak Melayu terdedah dengan permainan lain,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Muhammad Taufiq Johari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan.

Perdana Menteri berkata kekuatan utama sepak takraw terletak pada nilai warisan dan sejarahnya yang unik, termasuk kisah-kisah tercatat dalam teks sejarah Melayu.

“Keduanya, sepak takraw sudah berkembang bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat dunia. Justeru, ini memerlukan latihan, disiplin serta kemudahan yang agak lengkap dan Alhamdulillah, ini telah kita sediakan,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar turut memuji Hannah yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan atas komitmen dalam memajukan sepak takraw sebagai sukan warisan, meskipun majoriti peminatnya dalam kalangan masyarakat Melayu, sekali gus mencerminkan kematangan kepimpinan negara.

“Kita telah berikan ruang dan anak-anak yang terlibat harus faham bahawa inilah Malaysia sekarang. Kita angkat sukan ini dan leburkan fahaman perkauman yang sempit.

“Kita tunjukkan kasih sayang dalam kalangan kita serta membuktikan bahawa melalui sukan, kita mampu mendewasakan masyarakat,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata rakyat perlu menilai sesuatu kejayaan berdasarkan mutu sukan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum.

“Apabila kita melihat (kejayaan) sepak takraw di Bangkok, Thailand (tahun lepas), kita semua berbangga walaupun pemainnya mungkin majoriti Melayu tetapi inilah semangat yang mahu kita tonjolkan dan sebarkan.

“Tanpa semangat, disiplin dan latihan, tidak mungkin kita mampu mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata Anwar.

Pada Disember lepas, skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA apabila menumbangkan tuan rumah, Thailand, 2-1 bagi edisi 2025 temasya sukan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.