SHAH ALAM, 10 APRIL: Selangor mengambil pendekatan berhemah dalam penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan mengoptimumkan perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti temasya serta persiapan atlet.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan kawalan perbelanjaan secara menyeluruh termasuk mengurangkan elemen majlis perasmian yang tidak kritikal sepanjang penganjuran.
"Peruntukan sedia ada akan dioptimumkan sepenuhnya dengan memberi keutamaan kepada aspek yang memberi impak langsung kepada prestasi dan kesejahteraan atlet serta kualiti pertandingan.
"Pada masa sama, kita pastikan penganjuran SUKMA kekal pada tahap terbaik tanpa menjejaskan kesiapsiagaan atlet serta mutu pertandingan," katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, majlis pembukaan dan penutupan tetap diteruskan namun dalam skala lebih sederhana bagi mengelakkan pembaziran.
"Kita masih akan adakan majlis perasmian kerana suasana temasya itu penting, tetapi pendekatannya lebih terkawal. Elemen seperti bunga api atau penggunaan teknologi tertentu akan dikurangkan.
"Apa yang penting, kita tidak berbelanja secara berlebihan, sebaliknya mengekalkan keseimbangan antara kemeriahan dan kecekapan perbelanjaan," ujarnya.
Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari bersama wakil semua negeri di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, mesyuarat itu bersetuju temasya diteruskan selepas mempertimbangkan secara menyeluruh pelbagai aspek termasuk kesiapsiagaan penganjur serta persiapan atlet negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan keseluruhan SUKMA tidak dipotong, namun Kerajaan Negeri menyasarkan pengurangan kos melalui perancangan teliti dan strategi kawalan lebih efektif.
"Sebagai contoh, jika sesuatu penganjuran acara dianggarkan RM10 juta, kita sasarkan pengurangan kepada sekitar RM5 hingga RM7 juta tanpa menjejaskan keperluan utama," kata Najwan.

Berkaitan isu penangguhan, beliau menyatakan langkah itu tidak wajar kerana berpotensi meningkatkan kos keseluruhan serta menjejaskan komitmen sedia ada.
"Jika ditangguhkan, kos penganjuran boleh meningkat dengan ketara selain memberi tekanan kepada tempahan logistik, penginapan dan persiapan atlet yang telah dirancang lebih awal.
"Penangguhan juga boleh menjejaskan momentum pembangunan atlet, memandangkan SUKMA merupakan platform penting mencungkil bakat baharu ke peringkat lebih tinggi," jelasnya.
Jelas Najwan, setakat ini kira-kira RM15 juta telah dibelanjakan bagi persiapan sepanjang tempoh setahun setengah.
Selain itu, lebih RM103 juta diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur sukan di seluruh Selangor melibatkan kemudahan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan daerah.
"Penangguhan bukan sahaja menjejaskan perancangan sedia ada, malah berisiko meningkatkan kos penyelenggaraan fasiliti yang telah dinaik taraf.
"Fasiliti ini dirancang untuk digunakan semasa SUKMA dan seterusnya dimanfaatkan komuniti serta menyokong penganjuran temasya lain pada masa hadapan," ujar beliau.
Tambahnya, semua negeri komited menyertai SUKMA 2026 dan tiada penarikan diri setakat ini.
"Tidak ada negeri yang menarik diri," katanya.










