KLANG, 18 APR: Penduduk di Jalan Belimbing, Kapar kini kembali menikmati kemudahan laluan yang lebih selamat apabila jambatan yang runtuh akibat banjir besar sebelum ini berjaya dibina semula menerusi peruntukan RM150,000 oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata projek pembinaan semula itu turut menerima tambahan dana antara RM20,000 hingga RM30,000 daripada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Pada November 2024, jambatan yang dibina sendiri oleh penduduk telah musnah akibat arus deras banjir besar pada waktu itu. Jadi Yayasan MBI cuba membantu, malah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga meminta saya untuk menyelesaikan isu ini.
“Setelah membuat perbincangan dengan pelbagai agensi, dan akhirnya hari ini kita telah realisasikan sebuah jambatan baharu untuk kegunaan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di sini petang tadi.

Menurutnya, pembinaan semula jambatan berkenaan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat, khususnya dalam memudahkan pergerakan harian penduduk.
“Jambatan ini juga boleh digunakan sebagai laluan pelbagai kenderaan termasuk van sekolah dan jentera bomba, sekali gus memudahkan urusan harian serta meningkatkan tahap keselamatan komuniti,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid atas komitmen menyelaras kerjasama antara Yayasan MBI dan agensi berkaitan sehingga projek berkenaan berjaya direalisasikan.







