Enam suspek curi peralatan menara telekomunikasi ditahan

18 Apr 2026, 1:20 AM
Enam suspek curi peralatan menara telekomunikasi ditahan
Enam suspek curi peralatan menara telekomunikasi ditahan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Enam suspek termasuk dua wanita ditahan sekitar daerah Nilai kerana disyaki mencuri peralatan menara telekomunikasi secara terancang.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata tangkapan dibuat susulan kejadian pecah masuk di Tangki Air Sains Nilai Spring, Villa Desa Casia, Bandar Baru Nilai, semalam.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima maklumat kejadian kira-kira jam 7.15 malam, lapor Berita Harian.

“Pemeriksaan mendapati pintu ‘caging Remote Radio Unit’ (RRU) milik syarikat telekomunikasi dipecah masuk. Beberapa peralatan di lokasi itu didapati hilang dan dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menjalankan operasi dan menahan enam suspek. Semua suspek warga tempatan berusia 30-an hingga 40-an ditahan dalam beberapa tangkapan di sekitar Nilai dan Mantin dari malam hingga awal pagi,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas peralatan telekomunikasi termasuk Huawei RRU dan ‘Quad Band Combiner’, selain peralatan jenayah serta kenderaan.

“Semakan mendapati kebanyakan suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kecurian, samun dan kesalahan dadah.

“Siasatan awal menunjukkan kumpulan itu bertindak terancang dengan mencabut komponen sebelum dijual sebagai besi buruk,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.