SHAH ALAM, 17 APRIL: Beberapa stesen minyak Caltex di lima negeri akan mengalami gangguan sementara bekalan RON95 dan diesel selama beberapa hari bermula hari ini.
Caltex Malaysia dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.
Menurut syarikat itu, keadaan berkenaan berpunca daripada kelewatan tidak dijangka di pelabuhan yang menjejaskan jadual penghantaran bahan api.
“Caltex sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan penghantaran dan meminimumkan gangguan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Syarikat berkenaan turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran dan pemahaman pengguna sepanjang tempoh gangguan tersebut.








