SHAH ALAM, 17 APRIL: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor melupuskan sebanyak 530 kilogram (kg) pepejal dan 2,929 liter cecair ketum, dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM110,000 pada 14 April lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pelupusan barang kes berkenaan dilakukan di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di Kuala Selangor yang melibatkan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), iaitu Shah Alam, Serdang, Sepang, Gombak dan Hulu Selangor.
“Pelupusan kali ini melibatkan 278 kertas siasatan bagi tempoh 2014 hingga 2024, yang telah selesai melalui proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
“Proses pelupusan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melalui kaedah penanaman (burial) dengan kerjasama strategik Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Worldwide Holdings Berhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.








