Israel langgar gencatan senjata, bedil kampung di selatan Lubnan

17 Apr 2026, 3:19 AM
Israel langgar gencatan senjata, bedil kampung di selatan Lubnan

ISTANBUL, 17 APRIL: Israel melanggar gencatan senjata dengan membedil beberapa kampung di selatan Lubnan pada Jumaat, menurut laporan Tentera Lubnan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, tentera berkata pihaknya merekodkan beberapa serangan Israel sejak gencatan senjata berkenaan mula dikuat kuasa pada tengah malam waktu tempatan.

Tentera Lubnan menggesa penduduk agar menangguhkan kepulangan ke kawasan selatan negara itu kerana pencabulan yang masih berlaku mengancam keselamatan orang awam.

Ia turut meminta orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan unit tentera yang ditempatkan di selatan, khususnya pada waktu malam, serta menjauhi kawasan berbahaya.

Beberapa jam sebelum itu, pihak tentera turut mengeluarkan amaran sama dengan menasihati penduduk supaya tidak kembali ke kawasan selatan sehingga gencatan senjata mula dikuat kuasa.

Tentera Lubnan juga memberi amaran mengenai bahaya bahan letupan aktif yang tidak meletup serta objek mencurigakan yang ditinggalkan dan menggesa penduduk melaporkannya kepada pos tentera berhampiran.

Gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel mula dikuat kuasa pada tengah malam Jumaat waktu tempatan.

Pada petang Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan gencatan senjata itu selepas apa yang disifatkannya sebagai “perbualan yang sangat baik” dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.