Insiden bot migran karam di Laut Andaman di luar perairan Malaysia

17 Apr 2026, 3:09 AM
Insiden bot migran karam di Laut Andaman di luar perairan Malaysia

SHAH ALAM, 17 APRIL: Insiden bot karam yang membawa 250 hingga 280 migran Bangladesh dan Myanmar, di Laut Andaman baru-baru ini, bukan berlaku dalam perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata ia bukan berada di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Jelas beliau, pihaknya telah menerima maklumat berhubung insiden itu dan turut memohon kerjasama maklumat risikan daripada negara jiran sekiranya terdapat perkembangan lanjut..

“Sebarang operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian, selaras dengan konvensyen maritim antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 250 individu termasuk kanak-kanak, dikhuatiri hilang selepas sebuah bot yang membawa pelarian Rohingya dan warga Bangladesh karam di Laut Andaman, baru-baru ini.

Difahamkan, bot berkenaan yang berlepas dari Teknaf di selatan Bangladesh sedang dalam perjalanan ke Malaysia, sebelum dilaporkan karam akibat angin kencang, laut bergelora dan kesesakan.

Bagaimanapun, beliau berkata APMM akan menggerakkan aset sekiranya terdapat laporan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara.

Dalam pada itu, beliau berkata APMM Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Ops GUARD, namun aset telah ditempatkan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi sebagai langkah pemantauan dan kesiapsiagaan.

"Pemantauan turut menggunakan aset radar RSS Tanjung Kemarung bagi mengesan sebarang pergerakan di kawasan sempadan perairan negara,” katanya.

Mohd Rosli turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan.

Beliau menegaskan APMM kekal komited memperkukuh rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.