KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menjalankan kira-kira 720,000 pemeriksaan, 161 penggeledahan dan menahan 4,401 individu sejak 2023 hingga kini dalam usaha membanteras pelbagai jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Keselamatan Persempadanan dan Pendataan, Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim APMM Komander Mohd Khairul Azhar Ishak berkata ancaman utama yang ditangani agensi itu ialah penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin.
“Berdasarkan rekod sepanjang 21 tahun kewujudan APMM, ancaman utamanya adalah penangkapan ikan secara haram oleh sama ada nelayan tempatan yang tiada lesen dan tidak memahami peraturan serta nelayan asing.
“Daripada 4,401 tangkapan, lebih 3,100 tangkapan membabitkan penangkapan ikan secara haram, penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Mohd Khairul Azhar berkata keberkesanan operasi APMM banyak bergantung kepada kerjasama komuniti maritim, khususnya nelayan yang disifatkan sebagai rakan strategik serta “mata dan telinga” agensi itu kerana lebih mengenali pergerakan dan aktiviti mencurigakan di laut.
Beliau berkata komuniti maritim digalakkan menyalurkan maklumat seperti lokasi, masa kejadian serta ciri-ciri bot atau vesel yang mencurigakan kepada APMM tanpa mengambil tindakan sendiri yang boleh mengundang risiko keselamatan.
“Program Sahabat Maritim telah dilaksanakan di semua negeri bagi mengeratkan hubungan APMM dengan masyarakat maritim. Mereka ini boleh dikatakan setiap hari berada di laut, jadi mereka lebih mengenali laut berbanding anggota APMM sendiri,” katanya.
Mengenai pemerkasaan aset, Mohd Khairul Azhar berkata APMM akan terus meningkatkan keupayaan operasi menerusi perolehan dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dari Turkiye yang dijangka membolehkan operasi dijalankan lebih jauh di perairan negara untuk tempoh lebih lama.
Beliau berkata APMM turut menerima helikopter AW189 yang mampu dioperasikan di seluruh negara, selain sedang memuktamadkan perolehan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi mempertingkat keupayaan pemantauan dan pengawasan di perairan negara.
“APMM menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut merancang perolehan radar pesisir di beberapa kawasan strategik, khususnya di Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung, bagi menutup jurang liputan pengawasan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata radar pesisir itu mampu mengesan pergerakan vesel hingga jarak 50 hingga 60 batu nautika, sekali gus membolehkan APMM melaksanakan pengesanan awal dan menggerakkan aset terdekat ke lokasi yang dikesan mencurigakan dengan lebih pantas.
-- BERNAMA









