296 pelajar DUN Kota Kemuning terima sumbangan persekolahan

16 Apr 2026, 5:02 AM
296 pelajar DUN Kota Kemuning terima sumbangan persekolahan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Seramai 296 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata bantuan tahunan itu disalurkan melalui Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi meringankan beban keluarga.

“Program ini merupakan inisiatif berterusan bertujuan memastikan pelajar daripada keluarga memerlukan mendapat kelengkapan asas sebelum memulakan sesi persekolahan.

“Di peringkat Pejabat DUN Kota Kemuning, kita sentiasa komited memastikan kebajikan pendidikan anak-anak terus diberi perhatian agar mereka dapat belajar dengan lebih selesa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan Kerajaan Selangor dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan keluarga.

“Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan beban ibu bapa, malah memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.

“Kita berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penerima untuk terus fokus dalam pelajaran dan mencapai kejayaan. Terima kasih kepada MBI Selangor atas sokongan berterusan ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata hampir RM20 juta dibelanjakan sepanjang lebih 10 tahun bagi membantu kira-kira sejuta pelajar menyediakan kelengkapan sekolah.

Usaha itu juga bertujuan memastikan pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada akses pendidikan.

Pemohon perlu mendaftar di pusat khidmat DUN masing-masing serta menyediakan dokumen sokongan antaranya salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil kelahiran atau MyKid.

Selain bantuan tersebut, Yayasan MBI turut menyalurkan pelbagai inisiatif pendidikan lain termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), sumbangan komputer riba serta rangkaian data internet.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.