SHAH ALAM, 31 JAN: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang menahan enam kontena membawa muatan kira-kira 158,167 kilogram buangan terjadual (e-sisa) di Pelabuhan Klang Barat, semalam.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan itu dibuat hasil pemeriksaan ke atas sembilan kontena dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi yang diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

“Enam kontena didapati membawa dagangan tersenarai sebagai larangan mengimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar dengan lima darinya membawa e-waste antaranya papan litar, fius, fius industri dan tembaga.
“Manaka sebuah lagi kontena membawa wayar kuprum yang mana keseluruhan berat dagangan ini kira-kira 158,167 kilogram," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa terlarang selain terus memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Pada Selasa lalu, AKPS Pelabuhan Klang bersama agensi berkaitan menahan lima kontena yang membawa buangan terjadual (e-waste) dan sampah industri serta komersil yang dianggarkan seberat 125,037 kilogram.



