SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mempunyai kuasa menentukan lokasi tanah sesuai bagi cadangan mewujudkan pusat penempatan khas anjing liar di kawasan pentadbirannya.
Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKj memaklumkan kekangan bidang kuasa itu menjadi antara cabaran utama dalam merealisasikan cadangan berkenaan.
Menurutnya, penentuan kawasan bagi tujuan tersebut memerlukan kerjasama agensi lain termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat kerana MPKj tidak mempunyai kuasa untuk mengenal pasti atau meluluskan penggunaan tanah.
“Penentuan kawasan berkenaan memerlukan kerjasama agensi lain termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat. Ini kerana MPKj tidak mempunyai kuasa untuk mengenal pasti atau meluluskan penggunaan tanah bagi tujuan tersebut,” katanya kepada Media Selangor.
Bagaimanapun katanya, cadangan pusat penempatan khas itu sedang dipertimbangkan sebagai langkah jangka panjang dalam menangani isu anjing terbiar yang sering menjadi aduan penduduk.
"Bagi cadangan untuk pewujudan kawasan khas bagi penempatan anjing liar yang ditangkap sedang dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MPKj," ujanya.
Menurut jabatan itu lagi, dalam masa sama, operasi tangkapan anjing liar terus dilaksanakan secara berterusan menerusi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Kesihatan di seluruh kawasan pentadbiran.
"Tindakan melantik kontraktor bagi operasi tangkapan anjing dirancang pada suku kedua 2026 dan proses pelantikan melalui tender sedang dilaksanakan.
"Kaedah penyelesaian bagi tahun ini turut dilaksanakan melalui operasi tangkapan mengikut Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya.
Tambahnya, kerjasama turut dijalinkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Independent Animal Rescue (MIAR) dan Filberts Fraternity For Furry Friends Malaysia.
"Anjing terbiar yang tidak dituntut akan ditawarkan kepada NGO untuk ditempatkan di pusat perlindungan masing-masing.
"Pendekatan ini lebih berperikemanusiaan selain membantu mengurangkan beban kewangan serta pengurusan majlis," katanya lagi.
MPKj turut menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan yang responsif, telus dan berintegriti, selain mengalu-alukan maklum balas masyarakat bagi menambah baik mutu perkhidmatan.
Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong mencadangkan penyediaan kawasan khas sementara seperti tanah terbiar atau kawasan hutan bagi menempatkan anjing liar secara terkawal.
Beliau berkata cadangan itu dikemukakan susulan isu anjing liar yang tidak terkawal dilihat sebagai ancaman terhadap keselamatan, khususnya kanak-kanak.

Dalam masa sama, pendekatan tersebut katanya, selaras dengan saranan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin agar haiwan terbiar diurus secara lebih berperikemanusiaan dan tidak dibunuh sewenang-wenangnya.







