Wujud kawasan khas antara cadangan tangani anjing liar, terbiar

1 Apr 2026, 12:31 PM
Wujud kawasan khas antara cadangan tangani anjing liar, terbiar
Wujud kawasan khas antara cadangan tangani anjing liar, terbiar

SHAH ALAM, 1 APRIL: Isu anjing liar yang tidak terkawal dilihat sebagai ancaman serius terhadap keselamatan kanak-kanak, sekali gus menuntut tindakan segera dan lebih tegas termasuk daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong berkata masalah itu bukan lagi aduan terpencil, sebaliknya berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian berkesan meskipun dibangkitkan berulang kali dalam sidang dewan negeri serta mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Isu ini sudah lama. Ada kes orang jatuh, kemalangan, malah hingga melibatkan kematian. Kanak-kanak juga ada yang digigit. Ini bukan perkara kecil lagi kerana ia melibatkan keselamatan awam.

"Setiap hari penduduk berdepan risiko, terutama di kawasan yang banyak anjing liar," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata antara insiden serius termasuk kemalangan maut membabitkan seorang warga emas yang menunggang motosikal dipercayai cuba mengelak anjing sebelum dilanggar lori.

Menurutnya, antara kekangan utama yang sering dibangkitkan adalah ketiadaan lokasi penempatan bagi anjing yang ditangkap, sekali gus menyebabkan tindakan yang diambil tidak konsisten serta gagal menyelesaikan isu secara menyeluruh.

Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong berucap dalam majlis pelancaran Kempen Kajang Bersih Kajang di Hatiku di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 12 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Alasan yang sering diberikan adalah tiada tempat penempatan. Ada yang dibius dan dimatikan, manakala sebahagian lagi dimandulkan sebelum dilepaskan semula. Ini bukan penyelesaian jangka panjang dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penyediaan kawasan khas sementara seperti tanah terbiar atau kawasan hutan bagi menempatkan anjing liar secara terkawal dalam tempoh tertentu.

"Kita boleh kenal pasti tanah yang tidak digunakan dan pinjam untuk tempoh lima hingga tujuh tahun. Bina kawasan berpagar, asingkan anjing jantan dan betina, beri makan dan biarkan hidup secara terkawal sehingga tamat jangka hayat," jelasnya.

Beliau berkata pendekatan itu juga selaras dengan saranan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin agar haiwan terbiar diurus dengan lebih berperikemanusiaan dan tidak dibunuh sewenang-wenangnya.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat diadakan 26 Februari lalu bersama Yang Dipertua MPKj Nazli Md Taib serta pengarah agensi berkaitan bagi membincangkan langkah penyelesaian termasuk kaedah tangkapan oleh pihak luar.

"Difahamkan kerja menangkap anjing kini diserahkan kepada pihak luar dengan bayaran kira-kira RM100 seekor. Namun saya beri tempoh dua hingga tiga bulan untuk menilai keberkesanan langkah ini," ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan setakat ini masih belum kelihatan impak ketara dalam mengurangkan populasi anjing liar di kawasan terjejas.

"Masalah ini masih berterusan. Kita masih nampak anjing berkeliaran setiap hari," katanya.

Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti paling teruk ialah Sungai Long, Saujana Impian, Sekamat dan Bukit Dukung selain beberapa lokasi lain seperti Sungai Kantan.

"Di Sungai Long, jumlahnya boleh mencecah puluhan ekor di satu-satu kawasan. Di kawasan lain pula, walaupun tidak sebanyak itu, kehadiran anjing liar ini setiap hari menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk," katanya.

Justeru, beliau berharap tindakan lebih serius diambil segera bagi memastikan keselamatan awam terjamin, khususnya melindungi kanak-kanak di samping kebajikan haiwan terus dipelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.